Saturday, July 10, 2021

4 Sebab Kenapa 'Likes' dan 'Comments' Penting Untuk Perkembangan Profesional Anda


Pernahkah anda berbual dengan rakan-rakan dan mendengar mereka mengeluh tentang individu yang suka meluahkan pendapat di media sosial berkenaan isu semasa?


Atau pernahkah anda menonton video di laman sosial dan berkata, "Eh, biar betul?" atau "Macam mana lah benda macam ni pun boleh viral? Aku pun boleh buat!"


Saya tahu ramai antara kita mudah membuat kesimpulan yang bahan seperti ini dibuat hanya sekadar untuk meraih lebih banyak "LIKES" (TANDA SUKA) dan "COMMENTS" (KOMEN). Yang menonton kebanyakannya sekadar menikmati bahan kandungan tersebut atau menilai hantaran sebegini sebagai cara untuk mendapat lebih tontonan atau perhatian.


Berdasarkan pemerhatian saya, pendapat sebegini boleh dilihat di ruang digital tempatan dan antarabangsa, maka ia bukanlah berkaitan dengan budaya. Ia merupakan sesuatu yang semulajadi, kita berpandangan yang personaliti seseorang itu di media sosial menggambarkan dirinya yang sebenar di luar. Sekiranya seseorang itu gemarkan perhatian di luar, apa sahaja yang dilakukannya di medsos akan dilihat sebagai sesuatu untuk meraih perhatian juga, bukan?


Tapi dalam kehidupan sebenar, bukankah kita semua mahu untuk DISUKAI? Itu merupakan sifat semulajadi manusia. Sama ada anda suka atau pun tidak, itulah hakikatnya. Kita semua adalah makhluk sosial yang memerlukan penerimaan daripada orang lain. Semudah dipuji tentang pemakaian kita pun dah cukup membuatkan kita tersenyum sepanjang hari!


Walaubagaimanapun ini bukanlah perkara yang ingin saya ketengahkan untuk topik ini. Apa yang ingin saya kupas adalah berkenaan kepentingan 'TANDA SUKA' digital yang biasanya dilihat hanya sekadar simbol tanda sokongan. Saya berharapkan agar perbincangan di bawah bakal merubah perspektif anda terhadap TANDA SUKA dan KOMEN yang begitu penting bukan sekadar untuk kepuasan diri sendiri, bahkan untuk perkembangan karier profesional juga:

 

1| Nilai Digital Mempengaruhi Keyakinan

Menurut Pengasas OpenMinds, Jan Wong, kehadiran digital menentukan nilai digital anda. Dalam dunia teknologi kini, di mana internet adalah 'rumah' kedua kita, pernahkah anda terfikir berapakah nilai anda secara digital? Berapa kerap anda muncul di media sosial dan membentuk satu persona yang boleh dikaitkan dengan diri anda? Untuk menganggap setiap hantaran yang dikongsi atau ditulis adalah gambaran sebenar diri anda adalah kurang tepat, namun sokongan yang diterima hasil penulisan tersebut sedikit sebanyak menyumbang nilai digital kepada kehadiran anda. Nilai ini boleh meningkat sehinggakan orang ramai akan ternanti-nantikan pendapat anda setiap kali isu baru timbul.


Inilah antara sebab kenapa selebriti yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai mampu mempengaruhi keputusan membeli orang lain tanpa bersusah-payah. Pengikut yang ramai membawa kepada peningkatan TANDA SUKA dan KOMEN, maka Kesan Bandwagon tercetus di sini.


Bagaimanapun itu tidak bermaksud yang anda perlu menjadi seorang selebriti untuk mendapatkan kesan yang sama, anda hanya perlu memperbaiki nilai digital agar lebih mudah diterima dengan cara berkongsi maklumat atau menyatakan pendapat pada isu-isu tertentu secara kerap, terutama sekali dalam bidang kepakaran anda. TANDA SUKA dan KOMEN yang diterima bakal mempengaruhi nilai keyakinan orang ramai terhadap anda. 


2| Menghasilkan Lebih Banyak Sumber Pendapatan 

Sekiranya anda berpendapat yang kita perlu bekerja dengan waktu bertugas 9pg-5ptg sahaja untuk mencari makan, nampaknya anda masih tinggal dalam era 90-an.


Mungkin jangkaan anda untuk menyaksikan kereta terbang pada tahun 2020 tidak menjadi kenyataan tetapi pernahkah anda terfikir tentang 'wang terbang'? Ya – zaman sekarang wang pun boleh terbang, malah ia terbang merentasi dunia melalui alam digital! Tapi anda mungin tertanya, bagaimana untuk membuatkan ia 'terbang'? Secara teknikalnya, anda boleh bekerja dengan syarikat luar negara walaupun tinggal di rumah di Setapak, KL (bukanlah sesuatu yang baru), tetapi berapa kerap anda jumpa rakyat Malaysia yang bekerja dengan cara ini? Dengan peningkatan kos sara hidup dan evolusi digital yang semakin pantas, masyarakat kini berusaha mencari cara untuk meningkatkan pendapatan melalui bayaran dalam nilai matawang asing. Salah satu caranya adalah dengan membuat saluran untuk membawa orang ramai masuk ke pautan yang mengundang mereka untuk membaca, menonton atau mendengar kandungan digital yang telah dibuat. Ini akhirnya akan menjana pendapatan menerusi hasil pengiklanan yang boleh jadi terdiri daripada sumber tempatan dan antarabangsa. Atau sekiranya anda menjalankan perniagaan, ini adalah cara yang bagus untuk mempromosi atau membawa prospek pembeli untuk melihat produk anda. 


Oleh itu, saluran tersebut adalah sangat penting dan antara cara untuk mengukuhkannya adalah melalui TANDA SUKA dan KOMEN. Mendapat lebih banyak TANDA SUKA dan KOMEN pada hantaran anda bermaksud akan ada lebih ramai orang yang bakal memasuki zon pendapatan anda, jadi janganlah meremehkan kuasa 'ibu jari' ini!


Inilah juga punca agensi pemasaran (atau produser filem tempatan) kini mencari Influencer mikro dan makro – mereka sebenarnya mencari orang yang mempunyai ramai pengikut, TANDA SUKA dan KOMEN kerana ini memberi persepsi yang lebih banyak reaksi yang diperolehi oleh Influencer tersebut, maka lebih besarlah pendedahan yang diterima produk mereka. 


Dan sekiranya lebih luas pendedahan yang diberi oleh seseorang Influencer, lebih besarlah peluang pendapatan yang bakal diperolehi!

 

3| Untuk Mengekalkan Tarikan (Engagement)

Bagaimana untuk kekalkan prestasi anda sekiranya tiada keterikatan (engagement) antara anda dan penonton anda? Adakah orang ramai akan masih ingatkan anda jika anda sekadar membuat dua, tiga hantaran atau setelah anda menjadi viral? Mungkin ya, tapi hanya untuk beberapa ketika dan mereka akan teruskan kehidupan seperti biasa. Ingat, orang datang dan pergi. Dan sekiranya anda mahu untuk terus diingati, anda tak boleh terus pergi, anda perlu teruskan membuat hantaran.


Berada di media sosial bermakna anda menghasilkan jenama anda sendiri. Menurut Pengasas Copyworks Group, Monique Holtman, setiap kali anda berinteraksi dengan individu di media sosial, kesedaran terhadap jenama anda akan meningkat secara keseluruhan. Bagi saya, ia merupakan kunci untuk kekal relevan. Untuk terus menjadi relevan dalam industri, anda perlu terus berkata tentangnya dan sentiasa memberi respon apabila mendapat komen di halaman anda. Sekiranya anda kerap berinteraksi, anda juga akan memberi kesan kepada algoritma media sosial tersebut, jadi jika anda mahukan bahan hantaran anda sentiasa muncul di newsfeed orang lain, teruskan memuat naik dan berkongsi hantaran yang bagus. Jangan berasa putus asa sekiranya melihat jumlah TANDA SUKA dan KOMEN yang rendah kerana terdapat ramai pembaca pasif (silent reader) di luar sana yang memerhatikan anda. Teruskannya agar anda dapat memperbaiki reputasi dan kredibiliti digital yang akhirnya akan menjana lebih TANDA SUKA dan KOMEN.


4| Membuatkan Orang Lebih Mengenali Anda

Fakta: populariti meningkatkan perhatian. Itulah sebabnya orang yang terkenal mudah menarik penonton.


Tapi bagaimana pula dengan orang kebanyakan macam anda dan saya? Seperti yang telah saya sebutkan tadi, anda tidak perlu menjadi figura terkenal untuk mendapatkan perhatian di rangkaian sosial. Anda hanya perlu mendapatkan TANDA SUKA dan KOMEN.


Bagi pengguna medsos tegar, TANDA SUKA dan KOMEN berfungsi seperti 'penyukat populariti' yang digunakan ke atas halaman bukan kepunyaan selebriti. Sekiranya anda ingin dilihat oleh mereka dalam industri, kekalkan kehadiran digital yang aktif dalam bidang kemahiran anda – galakkan perbincangan yang interaktif, timbulkan reaksi positif dan kekalkan  berhubung untuk dapatkan lebih banyak TANDA SUKA dan KOMEN. Bakal majikan mungkin sedang memerhatikan anda di rangkaian sosial. Kajian terkini menunjukkan 70% majikan menggunakan media sosial untuk menapis calon sewaktu dalam proses mengambil pekerja. Hantaran anda yang popular mungkin boleh menyebabkan majikan lebih mengenali, mengikuti atau menawarkan anda pekerjaan.


Sekiranya anda bertuah, anda juga mungkin dikenali oleh figura terkenal dan pengaruh sosial sebegini boleh 'berjangkit'. TANDA SUKA atau KOMEN daripada Influencer boleh menjadi satu permulaan kepada peningkatan jumlah pengikut dan reaksi di halaman anda kerana ia membawa pengertian kepada pembaca bahawa pendapat mereka diterima oleh masyarakat umum. Lebih banyak TANDA SUKA dan KOMEN, akan terbitlah pelbagai lagi peluang karier, maka gunakan rangkaian sosial anda dengan bijak.


Sumber:

https://www.psychologytoday.com/us/blog/after-service/201705/the-science-behind-why-people-follow-the-crowd

https://www.businessnewsdaily.com/2377-social-media-hiring.html

https://www.theukdomain.uk/why-engagement-rates-are-important-on-social-media/

https://www.adcocksolutions.com/post/the-bandwagon-effect

A writer by day and a supermom by night. Yanie enjoys doing outdoor activities, home improvement hacks and organize events. She believes that coffee and chocolate makes this world a better place. .

0 comments:

Post a Comment

Start Work With Me

Contact Me
NUR IZYANIE
+60137599464 or +0350305061
Shah Alam, Selangor